Selamat Hari Wanita sedunia!
Wanita merupakan insan yang sangat istimewa. Di sebalik kelembutan dan keayuan, wanita juga merupakan insan yang sangat kuat dan gagah. Keluarga adalah pilihan utama bagi wanita. Untuk wanita yang sudah berkahwin, suami dan anak-anak adalah segalanya. Bagi yang belum berkahwin, ibu dan ayah adalah syurga bagi mereka.
Wanita sanggup melepaskan impian dan cita-cita demi orang yang mereka sayangi. Lihat sahaja seberapa banyak graduan wanita yang meletak jawatan untuk melihat anak membesar di depan mata. Lihat sahaja seberapa ramai yang sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu bapa yang sudah tua. Hati wanita itu penuh dengan kasih sayang dan cinta yang tidak terbatas. Mereka sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta dan nyawa untuk melihat orang lain bahagia dengan usahanya.
Namun, sebagai wanita yang hidup di abad 21 yang penuh mencabar ini. Saya fikir wanita perlu mengambil kisah dengan diri sendiri terutama dari segi kewangan dan manfaat individu. Wanita perlu mengambil tahu urusan wang dan survival diri jika sesuatu yang tidak di ingini berlaku kepada diri sendiri.
Sila bersikap realistik dan rasional bila berbicara dan merancang mengenai masa depan diri sendiri. Rezeki dan pertolongan Allah memang luas dan tidak terhad tetapi itu bukanlah alasan untuk kita mengenepikan usaha dan perancangan yang teliti untuk kebajikan diri.
Mari senaraikan apakah 3 perkara penting setiap wanita perlu ada :
-
Simpanan
-
Insurans nyawa dan medical card
-
Pelaburan
-
Hibah/wasiat
-
Pelan kewangan untuk tujuan lain
Simpanan
Tidak kira anda adalah suri rumah ataupun wanita bekerjaya. Pastikan anda mempunyai sedikit simpanan bagi apa sahaja tujuan. Tayar kereta pancit, suami keluar rumah berbulan-bulan tanpa pesan mahupun kehabisan bekalan makanan. Situasi begini mungkin kita hadapi tanpa boleh di duga. Simpanan tunai di akaun simpanan yang boleh terus di ambil dengan kad ATM di bank perlu ada sekurang-kurangnya RM2,000. Jika belum ada, berdikit-dikitlah menyimpan. Bermula dengan sekecil-kecil RM50 sebulan pun sudah cukup baik. Kata kuncinya mesti MULA & ADA! Adalah lebih baik jika asingkan simpanan ini di bank yang kurang aktif dan bukan akaun gaji.
Insurans nyawa dan medical card
Insurans amat penting tatkala kita berhadapan dengan situasi buruk seperti kemalangan atau di timpa musibah seperti terlantar sakit di hospital. Sebagai rakyat Malaysia, kita bernasib naik kerana rawatan dengan kadar bayaran yang murah masih lagi di sediakan oleh kerajaan. Namun, terdapat sisi yang kurang menyenangkan apabila terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan yang tidak memerlukan rawatan segera. Jadi ada baiknya jika kita memiliki sekurang-kurangnya satu medical card bagi itu. Insurans nyawa juga tidak kurang pentingnya, jika kita adalah wanita yang bekerjaya dan orang yang kita sayangi bergantung kepada kita untuk terus makan dan hidup, wang pampasan jika kita terpaksa perlu dahulu boleh di gunakan untuk melunaskan hutang kita yang tertunggak dan bagi waris terus hidup untuk suatu tempoh tertentu.
Pelaburan
Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang telus dan selamat di Malaysia bergantung kepada tujuan dan risiko yang sesuai dengan wanita. Peraturan pertama untuk memulakan pelaburan adalah dengan menggunakan wang lebihan yang ada sahaja, jangan meminjam menggunakan wang makan pakai atau berhutang untuk melabur. Tempat paling selamat untuk belajar melabur adalah ASB kerana wang modal tidak akan berkurang dan dividen yang di terima adalah purata 6-9% setahun. Tabung haji pada kiraan saya adalah lebih kepada simpanan, bukan pelaburan. Namun disebabkan oleh hibah yang di berikan oleh para pendeposit boleh di kira lumayan. Para wanita di galakkan untuk meletakkan sebahagian wang ke dalam akaun Tabung Haji bertujuan untuk menunaikan rukun islam yang ke lima. Malah, hibah yang di terima sudah di bayarkan zakat bagi pihak anda.
Selain itu, wanita boleh mula melabur dalam pasaran saham. Rata-rata wanita tidak berminat kerana memikirkan risiko yang terlibat. Pasaran saham boleh memberikan keuntungan berlipat kali ganda daripada pelaburan alternatif yang lain. 10%? 20%? Boleh kerana anda yang tentukan. Pembelian saham bukan juga perlukan permulaan ribuan ringgit untuk bermula. Sekecil-kecil RM500 sudah boleh mula melabur saham. Pembukaan akaun CDS juga hanya 10.60 sahaja.
Hibah/wasiat
Sebagai wanita, pembahagian berdasarkan faraid adalah amat baik jika pihak yang menerima harta warisan kita adalah mereka yang bertanggungjawab dengan amanat yang di berikan. Namun, jika sebaliknya dan kita sudah boleh melihat bibit-bibit sikap tamak waima ketika kita masih hidup. Baiklah untuk memikirkan untuk melakukan hibah dan wasiat kepada orang yang kita sayangi. Tambahan pula, jika kita mempunyai sedikit harta dari dalam KWSP, saham atau rumah yang di beli atas jerih perih dan penat bekerja membanting tulang.
Pelan kewangan untuk tujuan lain
Bercuti ke Sabah atau Paris, SPA atau facial treatment. Handbag atau alat make up. Sebagai wanita, perkara ini memang menjadi impian dan harapan. Setelah ada kesemua yang di atas. Bolehlah asingkan RM5 dan RM20 baki yang ada di dalam dompet untuk tujuan ini. Cepat atau lambat tak mengapa. Janji mula. Bayangkan, betapa indahnya saat kita boleh memanjakan diri dan berselang lenang untuk seketika. Anda berhak untuk mendapatkan keindahan itu setelah membanting tulang menjaga anak, suami dan keluarga. Jangan mengabaikan kebajikan diri sendiri, wanita perlu sihat akal dan badan untuk kekal cergas berkhidmat.
…………..
Wanita! Pilih sahabat yang sentiasa positif yang mendengar luahan hati anda ketika anda kesedihan. Jangan tinggalkan sahabat wanita anda setelah berumah tangga. Telefon, whatsapp dan bertanya khabar selalu. Jangan apabila di landa musibah baru mahu mencari kawan. Jika kawan yang baik dan perlukan pertolongan, hulurkan bantuan. Tidak jatuh miskin atau tidak susah jika bermurah hati membantu orang dengan izin Allah asalkan tidak menyusahkan diri dan keluarga. Jangan dengki atau iri hati dengan rezeki dan kelebihan orang lain. Bersyukur dengan apa yang ada tetapi dalam masa yang sama terus berusaha untuk menambah baik kehidupan.
Wahai wanita! Hidup ini untuk di nikmati dan di layari dengan kabahagian. Kita mempunyai hak untuk memilih jalan hidup yang gembira asalkan selari dengan tuntutan agama dan selagi tidak merosakkan diri sendiri. Tidak perlu merengek dan menangis sepanjang hari untuk masalah yang boleh di selesaikan. Pedulikan kata-kata nista dan atau emosi yang mengganggu. Jalani hidup seperti hari ini adalah adalah hari terakhir anda di dunia. Berusaha dengan kuat agar apabila masa berlalu nanti kita berbangga dengan diri sendiri. Wanita, KAU ISTIMEWA!
-Nor Akmar, Remisier, Penulis buku Panduan Lengkap Pelaburan Saham-
Views: 158